Ilmu Hitam Patung Voodoo

Diceritakan oleh seorang ustazah Rokiah (bukan nama sebenar), apabila ia bertukar parti dari biru ke hijau, maka berduyun- duyunlah turut berhijrah mengikut jejak langkahnya. Situasi ini menyebabkan Man (Juga bukan nama sebenar) yang tidak berpuas hati, setelah beberapa kali dipujuk  agar kembali kepada warna biru gagal maka sebagai langkah terakhir Man mengambil keputusan untuk jumpa bomoh orang asli. Perjalanan yang agak jauh dari Selangor ke utara semenanjung Malaysia, maka diajaknya beberapa teman karibnya sebagai teman bersembang di dalam perjalanan nanti.

Mungkin Man kerana pernah datang mengikut kawan ke rumah tok batil ini, maka tidaklah sesat. Bahkan Man faham syarat-syaratnya seperti menyediakan gambarnya sendiri, gambar ustazah Rokiah dan juga wang pengerasnya sebanyak RM 350.00. setelah membayar wang pengerasnya, mereka pun berangkat pulang. Tanpa berlengah-lengah lagi bomoh pengamal ilmu hitam itu pun melakukan seperti mana kehendak pelanggannya.

Tidak semena-mena badan ustazah tersebut berasa panas disusuli dengan sejuk sehingga sampai ke tulang hitam. Sekejap panas dan seterusnya sejuk dan kembali semula panas berulang-ulang. Ini menyebabkan ustazah tidak dapat lagi mengajar agama di masjid dan surau seperti mana sebelumnya

Maka ramailah warga tempat mengunjungi beliau. Mereka yang menziarahinya pasti dapat menduga ia sudah terkena sihir ilmu hitam atau pada istilah bahasa kena buatan orang. Salah seorang teman karib Man yang sama-sama pergi ke rumah tok batil tersebut juga datang menjenguk ustazah Rokiah. Namun tidak dapat dipastikan apa tujuannya menziarahi ustazah Rokiah, sama ada kedatangannya untuk menilai sendiri bertapa powernya bomoh tersebut ataupun ada sebab- sebab yang lain. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Melihat keadaan ustazah Rokiah yang terseksa disebabkan penyakit misteri, rakan Man terasa  simpati. dan juga  menyesal yang perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran agama, apatah lagi ustazah tidak dapat menabur bakti memberi ilmu agama kepada keluarga, jiran dan rakan-rakannya yang lain. Untuk diceritakan perkara yang sebenar, ia juga merasa bersalah mengkhianati Man. Ia menjadi serba salah. Akhirnya ia membuat keputusan agar tidak mendedahkan perkara sebenar tetapi hanya mencadangkan kepada keluarga Ustazah agar berubat dengan seorang bomoh yang berkebolehan mengubati penyakit yang lain daripada lain berada di utara Malaysia. Setelah memberikan alamat tersebut kepada keluarga Rokiah, ia pun pulang ke rumah dengan perasaan lega, bebas daripada belenggu beban rasa penyesalan.

Pada keesokan harinya, keluarga, jiran tetangga dan sahabat ustazah Rokiah  menaiki beberapa buah kereta berangkat ke rumah bomoh seperti yang di cadangkan. Sampai saja di destinasi tuju, bomoh itu pun mempersilakan mereka naik ke rumah. Terpandang sahaja muka ustazah, bomoh tersebut, bingkas bangun berlari lintang pukang menuju ke pintu tetapi di halang oleh keluarga ustazah Rokiah. Kemudian lari menuju ke tingkap, juga di halang.

Melihat tok bomoh yang tidak tentu arah seperti beruk kena belacan, mereka pun menangkapnya. Meronta-rontalah tok bomoh tetapi gagal , akhirnya akur dan setelah keadaan kembali tenang. Bomoh tersebut pun menunjukkan gambar Ustazah Rokiah dan juga menceritakan perkara sebenarnya. Dan ustazah tersebut menyatakan yang niat kehadirannya bukanlah untuk membelasah atau menghentam tok bomoh secara beramai-ramai tetapi berubat.

Bomoh tersebut tidak setuju untuk mengubatinya tetapi mahu memulangkannya kepada Man. Tetapi ustazah yang berakhlak tinggi tidak setuju kerana ia menganiaya Man. Melihat ustazah tidak setuju bomoh tersebut menjelaskan kenapa perlu dipulangkan.

“Jika saya ubati awak, awak akan pulih, esok lusa Man akan datang lagi dan minta saya buat yang lebih kuat lagi tetapi jika kita pulangkan ia merasa sakit dan datang cuma mahu berubat sahaja dan risau jika ia buat lagi sekali nanti dia lagi sekali sakit. “

Semua yang ada seolah-olah setuju dengan buah fikiran bomoh yang memulangkan supaya Man dapat pengajaran, ustazah pun setuju.

Setelah wang pengerasnya sebanyak RM350.00 di bayar, bomoh tersebut pun mengambil gambar Man kemudian di lekatkan pada tanah yang berbentuk patung (patung voodoo- biasanya tanah kubur orang mati dibunuh), lalu dipanaskan di atas dupa yang menyala kemudiannya direndam ke dalam baldi yang berisi air sejuk seketika dan di ulang perkara yang sama beberapa kali. Fahamlah keluarga Ustazah Rokiah kenapa ustazah Rokiah  merasa panas yang tidak terperi dan kemudiannya menggigil kesejukan berulang-ulang.

Dengan izin Allah, ustazah Rokiah pun pulih dari penyakit misterinya dan kembali mengajar agama di surau dan masjid. Man juga pulih setelah merujuk semula ke bomoh tersebut dan ia tidak berani lagi untuk menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir orang lain. Dan kini peristiwa tersebut sudah berlalu hampir 10 tahun dan ustazah Rokiah telah kembali ke rahmatullah..

KESIMPULANNYA, bomoh tersebut yang mendapat manfaatnya, dapat duit RM1050.00 tetapi saya merasa hairan kenapa perlu bomoh tersebut meminta foto pelanggannya, adakah itu sebagai syarat yang perlu dipatuhi agar ilmunya menjadi?. Wallahualam.

Share and Enjoy:
  • Print
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • Blogplay
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Ilmu Hitam Patung Voodoo”

  1. Azila says:

    ee takut jugak yer…dari gambar macam2 org boleh buat.

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree

Copy Protected by Chetan's WP-CopyProtect.