Jika kita tanya daripada orang-orang dulu-dulu perihal hantu, pasti mereka menceritakan pengalaman mereka mengenai hantu. Lalu kadang- kadang kita mempertikaikan kesahihannya kerana memperbandingkannya dengan keadaan kita sekarang. Tak pernah pun nampak seperti yang mereka ceritakan. Kenapa ye?. Sebenarnya pada zaman dulu tidak seperti kita sekarang, banyak sekolah untuk menuntut ilmu dengan situasi yang aman. Lantaran itu orang dulu-dulu hanya mempunyai 2 pilihan, untuk belajar agama mereka terpaksa pergi jauh, belajar di pondok manakala untuk dunia, seperti mempunyai kekuatan yang luar biasa, ilmu kebal, ilmu santau, susuk, membela atau berkawan dengan syaitan atau Jin (hantu raya, pelesit, toyol dan seumpamanya) senang untuk dipelajari atau diperolehi kerana hanya bertandang berjumpa tok bomoh yang berhampiran.
Kebanyakan ilmu dunia seperti ini diklasifikasikan sebagai ilmu hitam. Ilmu-ilmu sebegini sangat mudah diperolehi, kadang-kadang mereka yang lalu berhampiran dengan rumah tok bomoh tersebut, terdengar mantera yang diajarkan kepada muridnya, lalu ia ikut menyebutnya di dalam hati, ia juga turut memperoleh ilmu tersebut seperti mana mereka yang belajar di hadapan tok bomoh. Ilmu sebegini dituntut dengan pelbagai sebab, antaranya supaya orang takut padanya kerana ia kebal dan miliki kekuatan luar biasa, banyak harta, memiliki kecantikan ataupun bagi mengenakan orang lain yang menjadi musuh atau pun penjajah seperti ilmu santau dan ilmu tuju-tuju.
Apakah syaitan yang menjadi dalang dalam ilmu sebegini, memenuhi kehendak tuannya secara percuma tanpa imbalan balik?. Sudah pasti tidak, biasanya mereka meminta ganjaran mayat tuannya sebagai galang ganti untuk dijadikan permainan di samping perlu mewariskannya pada sanak keluarganya. Jika tiada siapa yang sanggup maka selagi itu ia kelihatan hidup mata berkelip-kelip dan makan dengan lahap dan rakus, meskipun badan kelihatan reput dan bau bangkai yang busuk menyusuk ke hidung. Biasanya anaknya yang terpaksa sanggup kerana kesian dengan ibu atau bapa mereka yang seolah-olah menanggung azab ketika siratul maut dan menjadi umpatan jiran tangga. Kawan saya pernah menziarahi jirannya yang mempunyai saka hantu raya sedang nazak tetapi melompat keluar dari rumah tersebut menerusi tingkap apabila ia melihat seperti bayi dalam tembuni tergantung di alang bumbung rumah tersebut.
Banyak juga kisah dari pengalaman bahawa syaitan menggantikan mayat si mati dalam keranda dengan batang pisang terutama dalam majalah Mastika. Untuk mengujinya potong dua keranda dengan gergaji kerana sekiranya kita buka keranda secara biasa, syaitan tersebut berkesempatan menggunakan sihir ataupun menggantikan semula batang pisang tersebut dengan mayat si mati.
Saya pernah bertanya kepada ibu saya, biasanya orang yang mati menjadi hantu, berapa lama tempoh gangguannya, Emak kata paling lama selama 40 hari. Syaitan dalang di sebalik ilmu akan masuk ke dalam mayat si mati seperti mana ia masuk merasuk badan manusia, Jika bungkusannya masih elok maka ia menjadi hantu bungkus ataupun hantu Puchong, jika ia sudah terbuka mungkin ia di gelar hantu raya dan sebagainya kembali ke rumahnya biasanya ke dapur untuk makan dan minum air limbah basuhan pinggan mangkuk, kemudian pergi ke rumah jiran- jirannya dan juga saudara mara si mati. Sudah pasti syaitan ini kenal dengan semua saudara mara si mati kerana ia sentiasa berdampingan dengan tuannya.
Keadaan ini berterusan sehingga mayat tersebut telah mencapai 40 hari umur kematiannya kerana selebihnya daging mayat tersebut telah habis membusuk dan hanya tinggal rangka sahaja dengan ini ia tidak dapat lagi menghina mayat tersebut kerana sudah tidak di kenali dan juga tiada lagi daging busuk yang melindunginya daripada bacaan ayat Al-Quran dan pasti ia akan menanggung akibat sekiranya di curah atau di simbah dengan air surah Yassin. Seterusnya ia menumpukan kerja-kerja kepada tuannya yang baru/ pak sanggup.
Mungkin ketika bomoh ilmu hitam tersebut memberitahu syarat sebegini, mereka yang menuntut berkata,’ala Cuma mayat kita aje yang mereka hendak’ tetapi ia mengetahui mayatnyalah digunakan bagi mencabut sifat ulama, takut kepada Allah pada keturunannya. Sebaliknya takut lebih kepada hantu. Dengan tidak takut kepada Allah, maka mudah ingkar kepada perintahnya dengan ini senang melakukan maksiat. Secara tidak langsung objektif raja mereka, iblis menyesatkan anak cucu Adam dari talian Allah supaya menemaninya di neraka Allah
Kerana itulah pada masa tersebut, ibu bapa sering berpesan kepada anak-anaknya supaya dalam apa keadaan pun setiap ilmu yang di tuntut dimulakan dengan bacaan Bismillah dan di akhiri dengan selawat. Pada masa sekarang ini ilmu- ilmu hitam sebegini sudah tidak mendapat tempat di hati masyarakat dan ramai yang telah membuangnya dengan ini tiada lagi mayat yang akan dipergunakan oleh syaitan, maka semakin moden dunia, semakin pupus hantu- hantu ini. Tiada lagi hantu penanggal kerana tiada lagi orang menuntut ilmu bidan tradisional, tiada lagi hantu raya ataupun pelesit kerana orang lebih senang bekerja daripada menyuruh sahabat atau sakanya merasuk atau membuat sakit orang lain dan kemudian mengubatinya untuk mendapatkan wang pengeras.
Nota: tidak semua bomoh, pawang, dukun dan bidan mengamalkan ilmu hitam. Ada antara mereka menggunakan ayat Al-Quran, dan bagi mereka yang menggunakan mantera tertentu tetapi tidak bersalahan dengan agama Allah sebagai contoh mantera untuk ubat batuk menggunakan pantun yang bercerita perihal burung belatuk yang hinggap di tiang, tetapi yang hairannya mujarab, tak dapat nak dibuktikan dengan kajian sains.
Wallahualam
RSS Feed
Twitter
July 4th, 2009
admin 













Posted in
Tags: 